Iklan 1

Monday, June 30, 2008

Mencari Definisi Ekonomi Islam

PENDAHULUAN

Dewasa ini masyarakat Islam Malaysia semakin peka dengan isu yang melibatkan permasalahan hukum dalam kehidupan harian. Peningkatan ini boleh dilihat dengan ketara melalui penglibatan persatuan-persatuan pengguna Islam yang membangkitkan isu-isu berkaitan. Selain itu keprihatinan masyarakat Islam dalam memilih produk berlogo halal juga boleh dijadikan kayu pengukur yang tersendiri. Dalam hal ini, kita boleh lihat pendirian Persatuan Pengguna Islam dalam berhadapan dengan isu kilang membuat mi di Pulau Pinang sedikit masa lalu. Hal ini telah memberi gambaran bahawa tahap kesedaran masyarakat Islam di Malaysia semakin meningkat hari demi hari.

Pada masa yang sama, produk kewangan Islam sudah mendapat tempat di hati pengguna sistem perbankan. Motto Bank Islam iaitu “Perbankan untuk semua” bukan hanya impian dan omongan kosong sahaja. Sudah acapkali kita terserempak dengan orang bukan Islam berurusan di kaunter-kaunter atau auto-teller machine (ATM). Malah peningkatan deposit dalam sektor kewangan Islam menjadi indikator penting membuktikan perbankan Islam semakin diterima umum.

Hakikatnya pembangunan ekonomi Islam bukan saja dibincangkan di Malaysia. Negara-negara Tmur Tengah seperti Arab Saudi, Mesir, Jordan dan sebagainya sudah lama mengamalkan sistem perbankan tanpa riba selain konsep-konsep muamalah yang lain seperti mudharabah, musyarakah ataupun bai-bitamin ajil dalam pembelian rumah. Bank dari negara Kuwait misalnya begitu besar hingga mampu membeli salah sebuah bank tempatan. Hal ini jelas sekali membuktikan kepada kita bahawa dunia Islam tidak ketinggalan dalam menangani masalah ekonomi dan pengurusan kewangan.

Ekonomi Islam dikatakan sebagai penawar kepada masalah dunia sejagat yang berpunca dari kegagalan sistem ekonomi kapitalis dan sosialis. Kedua-dua sistem ciptaan manusia itu gagal berlaku adil kepada hak awam (kapitalis) dan hak individu (sosialis). Bertunjangkan semangat keadilan yang berpandukan al-Quran dan Hadis jua dapat membawa manusia keluar dari kegelapan.

Ironinya ekonomi Islam yang dicanang oleh sesetengah sarjana Islam hari ini masih mengeluarkan bunyi senada dengan gendang fahaman yang dimainkan oleh Barat. Perbincangan ilmu hanyalah bersandarkan kepada kemampuan akal manusia yang terbatas. Selain itu apa yang mereka lakukan hanyalah menokok tambah di bahagian tertentu agar ia kelihatan lebih Islamik. Sudah tentu hal ini tidak memandai dalam usaha mencapai keredhaan Allah melalui ekonomi.

Ekonomi kontemporari

Barangkali ada baiknya kita bincangkan terlebih dahulu perihal ekonomi semasa yang telah diamalkan sejak beberapa dekad yang lampau. Jika merenung kembali dari sudut bahasanya, diksi “ekonomi” berasal dari perkataan Yunani yang bermaksud “rumah” dan “agih”. Dari konsep pengurusan isi rumah, ia diperluaskan ke pengurusan dan pentadbiran negeri. Satu kajian ilmiah juga telah ditulis pada 1440 yang melibatkan pengurusan hal ehwal ekonomi sebuah kuil.

Hari ini dunia ekonomi telah bersetuju untuk mentakrifkan ekonomi sebagai sains sosial yang mengkaji bagaimana menggunakan sumber yang terhad untuk memenuhi kehendak yang tidak terhad. Atas sebab-sebab tertentu, sumber yang diperlukan untuk memenuhi kehendak manusia dikatakan terbatas jumlahnya. Malah manusia dikatakan haiwan ekonomi yang tidak pernah puas dengan apa yang diinginkan. Justeru itu, manusia cuba mencari jalan untuk memenuhi kehendak yang tidak terbatas itu melalui pelbagai cara yang dicadangkan oleh pelbagai sistem ekonomi..

Di sinilah punca masalah yang melanda dunia hari ini. Kehendak yang tidak terbatas itu sebenarnya telah menyebabkan manusia dikuasai nafsu dalam memenuhi kehendak mereka. Nafsu sudah dikenali sebagai satu makhluk yang ego dan sangat mementingkan diri sendiri.

Atas sebab itulah ekonomi Islam sepatutnya keluar dari landasan yang telah ditunjukkan oleh sarjana Barat. Sebagai umat Nabi Muhammad salallahualaiwasallam, kita telah ditinggalkan dua sumber ilmu dan hukum yang paling utama iaitu al-Quran dan Hadis peninggalannya. Dua sumber tersebut memadai buat kita kerana itulah sebaik-baik jalan yang dipilih oleh kita.

KAEDAH

Pandangan awal

Berbanding bidang lain seperti fikah, akidah dan sejarah Islam, bidang ekonomi masih belum diterokai secara meluas. Barangkali ini ada kaitan dengan kejayaan pemikiran sekular yang memisahkan antara agama dan dunia. Hasilnya tidak ramai ilmuan Islam yang memiliki ilmu dalam bidang ekonomi atau bidang sains sosial lain sebaliknya menumpukan perhatian kepada permasalahan dalam bidangnya sendiri sahaja.

Justeru itu, beberapa pandangan awal tentang ekonomi Islam dilihat masih lemah dan dangkal. Generasi hari ini seharusnya mengkaji semula dan membahaskan definisi ekonomi Islam supaya ia turut disinari cahaya hidayat-Nya. Ini penting kerana perkembangan ilmu semasa begitu kompleks dan mencabar. Sarjana Islam perlu menggembleng pemikiran untuk sama-sama membawa umat Islam kembali ke jalan yang benar.

Satu pendapat dinyatakan oleh Professor Muhammad Syukri Salleh dan Dr Abdul Fatah Che Hamat dalam Kertas Kerja mereka yang bertajuk ‘A Fundamental Flaw In the Construction Of Islamic Economics: Providing Islamic Justifications Within Conventional Framework.’ Mereka mengkritik pandangan Mohd Riduwan Wahab yang menerima masalah sumber yang terhad untuk memenuhi keinginan yang tidak terhad. Jelas sekali pandangan itu tidak berbeza dengan ekonomi semasa yang akhirnya tidak akan membawa kita kembali kepada kehendak Islam yang sebenar.’

Jelas mereka, Islam mengajar konsep rezeki dan berkat yang melampaui hukum kualitati manusia. Melalui surah al-Israk ayat 30, Allah subhanahuwataala berfirman yang maksudnya lebih kurang berbunyi: “Sesungguhnya Tuhanmu melapangkan rezeki buat orang yang dikehendaki-Nya dan Dia juga membataskannya. Sesungguhnya dia Maha Mengetahui dan Maha Melihat hambanya.”

Islam juga mengajar untuk mengawal hawa nafsu agar tidak keterlaluan dalam memenuhi kehendak. “Kehendak yang tidak terbatas” itu sebenarnya jelas sekali elemen yang ditimbulkan oleh nafsu. Mereka mengatakan bahawa Kedua-dua aspek ini bercanggahan dengan kehendak Islam.

Ada juga beberapa pandangan lain mengatakan bahawa ekonomi Islam ialah ekonomi berasaskan kepada perundangan Islam. Golongan ini hanya melihat kepada sistem perbankan tanpa riba, pembayaran zakat serta hal-hal seperti perkongsian (mudharabah), syarikat (musyarakah) dan sebagainya. Hakikatnya masalah ekonomi bukan sekadar itu. Apa yang dinyatakan diatas hanyalah soal-soal pentadbiran kekayaan dan sistem pengurusan pemilikan harta.

Pandangan Barat

Usaha mempopularkan ekonomi Islam nampaknya dipandang serong oleh Barat. Apa pihak mengatakan tujuan ekonomi Islam tidak lain untuk menarik dana keluar dari perbankan konvensional dan masuk ke dana negara-negara Islam. Hal ini ternyata tidak benar kerana tujuan kita hanyalah untuk menyediakan kemudahan perbankan dan kewangan yang selaras dengan kehendak agama kita.

Timur Kuran, seorang professor ekonomi dari Universiti Duke mengatakan bahawa ekonomi Islam bukanlah bermula dari zaman Nabi salallahualaiwasallam. Sebaliknya ia diasaskan oleh “brainchild” seorang intelektual islam, Abul-Ala Mawdudui (1903-79). Matlamatnya pula ialah sebagai mekanisma meminimumkan hubungan ekonomi dengan Barat, menguatkan kerjasama kolektif antara sesama Muslim dan memodenkan dunia Islam tanpa menjadi seperti Barat.

Malah lebih menyedihkan apabila beliau mengatakan bahawa ekonomi Islam yang berasaskan kepada perkongsian untung sebenarnya tidak jauh berbeza dengan sistem riba seperti yang diamalkan oleh Barat. Sistem yang kompleks itu hanyalah bertujuan untuk berselindung disebalik pembayaran riba.

Beliau juga mendakwa sistem zakat sebenarnya tidak membantu mengurangkan kemiskinan. Kononnya apa yang berlaku ialah wang kutipan zakat hanya akan masuk ke poket pegawai agama. Yang lebih menyedihkan ialah beliau menggunakan Malaysia sebagai contoh.
Hujah beliau yang ketiga pula ialah isu moral yang ditekankan dalam islam tidak menghargai kesan kelakuan ekonomi (no appreciable effect on economic behavior). Beliau mengatakan bahawa fahaman ekonomi Islam sama seperti sosialism. “Certain elements of the Islamic economic agenda conflict with human nature.”

Selain itu beliau juga menekankan kegagalan kerajaan Sudan, Pakistan dan Iran dalam usaha mewujudkan sistem ekonomi Islam. Malah beliau mengambil contoh ada beberapa negara di Asia Tenggara menggunakan agenda memperkenalkan ekonomi Islam sebagai cara untuk terus popular dikalangan pengundi mereka.

Pandangan Klasik

Hakikatnya ilmuan Islam sudah lama memberi tumpuan kepada masalah ekonomi dalam masyarakat. Ibnu Khaldun misalnya telah menulis sebuah magnum opus tentang ekonomi dan sejarah serta capaian dalam bidang sains sosial yang lain melalui bukunya bertajuk al-Muqaddimah. Abu Yusuf, seorang ketua juri pada zaman Khalifah Harun al-Rashid pula menulis Kitab al-Kharaj (Book of Taxation). Selain itu, terdapat perbincangan tentang manfaat pembahagian sumber tenaga (division of labor) dalam penulisan-penulisan Qabus, al-Ghazali, al-Farabi, Ibnu Sina, Ibnu Miskawayah, Nasir al-Din al-Tusi, Asaad Davani dan Ibnu Khaldun sendiri. Ibnu Taymiyyah menggambarkan “jika keinginan terhadap sesuatu barang meningkat sedangkan ia sukar diperolehi, harganya akan meningkat. Sebaliknya jika sesuatu barang itu mudah diperolehi sedangkan ia kurang diinginkan, harganya akan menurun.


Ibnu Khaldun

Oleh yang demikian, beberapa penulisan tentang Ibnu Khaldun mutakhir ini bersetuju memberi gelaran ‘Bapa Ekonomi’ kepada ilmuan Islam tersebut. Dalam artikel ditulis oleh Dr. Ibrahim M. Oweiss yang bertajuk ‘Ibn Khaldun, Father of Economics’ mengatakan “His significant contributions to economics thought as a major forerunner, if not the “father,” of economics, a tittle which has been given to Adam Smith, whose great works were published some three hundred and seventy years after Ibn Khaldun’s death.”

Shiddiqy Boulokia pula dalam tulisannya ‘Ibn Khaldun: A Fourteenth Century Economist’ mengatakan “Ibnu Khaldun discovered a great number of fundamental economics notions a few centuries before their official births. He discovered the virtue and the necessity of a division of labour before Smith and the principle of labour before Ricardo. He elaborated a theory of population before Malthus and insisted on the role of the state before Keyneys.

Pendekatan baru

Berdasarkan kepada pandangan diatas, seharusnya ekonomi Islam diberi pandangan baru yang segar dan lebih kukuh pendiriannya. Pandangan ini perlu agar tidak berlaku kesilapan yang sama sebelum ini selain memastikan ekonomi Islam benar-benar suci selaras dengan kehendak al-Quran dan Hadis.


Fitrah manusia

Dalam mencari defini ekonomi Islam, terlebih dahulu ada baiknya kita bincangkan fitrah kejadian manusia dan tujuan diturunkan ke muka bumi ini. Hal ini penting agar defini yang diberikan kelak mampu menerangkan sebab ilmu ekonomi dan keperluan memberi definisi sedemikian rupa.

Allah subhanahuwataala telah berfirman di dalam al-Quran surah al-Bakarah ayat 30 yang kira-kira bermaksud: “Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi…” Hal ini menjelaskan kepada kita bahawa manusia mempunyai tugas tersendiri di alam ini. Khalifah, atau pemimpin, sudah tentu bukan sekadar sesama manusia tetapi merangkumi dari sudut pentadbiran alam dan segala isinya.

Namun begitu, manusia secara fitrahnya diturunkan bersama dua elemen iaitu akal dan nafsu. Diceritakan bahawa sebelum Allah memasukkan kedua-duanya, Allah telah bertanya kepada akal: “Siapa aku, siapa kamu?” Akal menjawab: “Kamu Raja, aku Hamba”. Soalan yang sama ditanya kepada nafsu yang kemudiannya menjawab: “Kamu ialah kamu. Aku ialah aku.” Allah memerintahkan supaya nafsu dikurung sehinggalah ke neraka lapar barulah ia mengaku bahawa Allah adalah Tuhan dan dirinya ialah hamba.

Satu lagi perkara yang perlu diambil kira dalam fitrah kejadian manusia ialah manusia diciptakan untuk beribadah kepada Allah semata-mata. Surah az-Zariyat ayat 56 menjelaskan hal ini yang berbunyi: “Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia, melainkan supaya mereka beribadah kepadaku.” Ini sepatutnya menjadi peringatan kepada semua manusia supaya kita sedar tentang sebab kewujudan (reason for existence) di muka bumi ini.

Pendekatan Islam terhadap ilmu

Selain itu, kita harus juga mengambil pendekatan Islam terhadap ilmu pengetahuan. Disiplin ilmu Islam amat mementingkan sumber ilmu, bukan sekadar mengutip pendapat mana-mana orang yang sembarangan. Setiap sumbernya dicatat dan dipastikan kesahihannya. Hal inilah yang dilakukan dalam proses meriwayat sesuatu hadis yang amat mementingkan kesahihan hadis tersebut.

Ilmu adalah cahaya yang datang dari Allah kepada umat manusia. Ia digunakan untuk urusan memenuhi perintah Allah dalam mentadbir bumi sebagai khalifah di muka bumi ini. Justeru itu sumbernya juga mestilah kukuh dan suci.

Pandangan akal manusia yang cetek tidak seharusnya diambil begitu sahaja. Seharusnya ia ditapis dan dikaji terlebih dahulu dengan al-Quran dan Hadis supaya tidak menyimpang daripada ajaran Islam. Hari ini kita juga perlu mengambil kira pandangan alim ulama kerana seperti ditegaskan oleh Imam al-Ghazali di dalam kitabnya yang terkenal, Ihya’ Ulumuddin, Rasulullahualaiwasallam bersabda: “Para ulama adalah pewaris para nabi”.

Matlamat ekonomi

Di dalam surah al-Bakarah ayat 29 yang kira-kira bermaksud: “Dialah yang menciptakan untukmu apa-apa yang ada di muka bumi…’ Allah telah berfirman menunjukkan kepada manusia bahawa segala apa yang ada di muka bumi ini adalah untuk kegunaan manusia seadanya. Segala tumbuhan, haiwan, air serta berbagai kejadian alam semuanya untuk memenuhi keperluan manusia.

Untuk yang demikian, satu bidang ilmu dan kajian perlu dibangunkan untuk membolehkan manusia menggunakan semua sumber untuk dimanfaatkan bersama-sama. Syariah Islam telah menjadikan kemaslahatan umat manusia sebagai prioriti utama. Dalam hal ini, Imam al-Ghazali telah merincikan lima aspek kehidupan yang menjadi asas kepada maslahah umat iaitu: (i) terpeliharanya agama, (ii) terpeliharanya jiwa, (iii) terpeliharanya akal, (iv) terpeliharanya keturunan dan (v) terpelihara harta.

Ilmu ekonomi atau iqtishasdy perlu menggunakan kelima-lima tujuan tersebut. Dengan yang demikian barulah kita akan memenuhi fitrah manusia yang disebutkan diatas.

Perkara ketiga yang perlu dititik beratkan ialah soal halatuju pembangunan ekonomi. Islam mementingkan aspek keadilan dalam segala urusan. Apa yang penting ialah semua manusia (tanpa mengira agama) dapat memenuhi keperluan asas mereka supaya kemaslahatan terjaga. Kita selama ini dianjurkan untuk bersedekah kerana sesungguhnya menjaga jiwa itu lebih utama daripada menjaga harta contohnya bersedekah kepada orang miskin supaya mereka dapat membeli makanan.

Selain itu, Islam menekankan supaya umatnya mampu berdikari dan tidak meminta-minta dengan orang lain. Rasulullah salallahualaiwasallam pernah bersabda yang lebih kurang berbunyi “lebih baik bagi seorang lelaki itu mengambil tali, memotong kayu, menghimpunkannya lalu menjual di pasar untuk mendapatkan rezeki bagi dirinya dan bersedekah daripada meminta-minta samada mereka memberinya ataupun tidak.”

Ringkasnya matlamat ekonomi seharusnya merangkumi aspek berikut:

1. Menggunakan segala sumber yang ada di muka bumi.
2. Memanfaatkan sumber untuk kemaslahatan umat manusia.
3. Membangunkan sumber tersebut supaya mencapai tahap sara diri serta mempu mengeluarkan zakat dan sedekah.

DEFINSI EKONOMI

Ilmu fikah

Ilmu fikah berbeza dengan ilmu syariah atas beberapa sebab. Hukum-hukum yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi untuk mengatur kehidupan manusia dikenali sebagai syariah sedangkan fikah pula merupakan ijtihad (tafsiran) manusia yang berteraskan wahyu Allah berdasarkan ruang lingkup yang tersedia dalam syariah. Oleh yang demikian, bolehlah kita mengatakan bidang ekonomi Islam ialah suatu cabang fikah.

Kesimpulan

Barangkali dengan perbincangan hingga ke tahap ini, kita sudah berupaya menemui satu daya baru untuk memberi nafas segar dalam dunia ilmu Islam. Walaupun ilmu ini sudahpun dibincangkan oleh ulama seperti Ibnu Khaldun, imam al-Ghazali dan sebagainya, tidak salah sekiranya ia diperbaharui untuk menangkis serangan golongan tertentu yang tidak pernah senang dengan apa yang dilakukan oleh umat Nabi Muhammad salallahualaiwasallam. Malah dengan cara ini juga kita akan dapat membetulkan kiblat ekonomi negara-negara Islam agar tidak terkepung oleh ajaran yang dibawa oleh Barat.

Definisi ekonomi Islam

Ekonomi Islam ialah satu bidang ilmu fikah yang mengkaji bagaimana membangunkan sumber di muka bumi ini untuk memenuhi keperluan manusia yang selaras dengan kehendak syariah sehingga mampu diagihkan kepada golongan yang tidak mampu menyara hidup sendiri.

Terdapat beberapa komponen penting yang dimuatkan dalam definisi ekonomi yang dicadangkan diatas. Pertama ilmu ekonomi sebagai satu bidang fikah yang perlu sebagai fardu kifayah untuk kepentingan umum. Kedua, sumber yang dibincangkan hanyalah setakat yang ada di muka bumi selaras dengan apa yang disampaikan melalui al-Quran dan tidak melampaui ruang atmosfera bumi. Komponen seterusnya ialah membataskan keperluan hidup manusia yang hanya menepati kehendak syariah layak dipenuhi. Akhir sekali ialah memberi perhatian kepada golongan yang tidak mampu menyara sendiri seperti orang cacat anggota, golongan fakir miskin serta anak-anak yatim yang masih kecil dan tidak berdaya mencari nafkah sendiri.

Harapan

Sistem ekonomi Islam bukanlah sekadar sistem kewangan yang bebas riba, perniagaan yang jauh dari unsur gharar atau kutipan dan agihan zakat yang berkesan. Ia melangkaui semua itu kerana ilmuan terdahulu sudah lama membincangkan soal-soal pengkhususan buruh, hukum penawaran dan permintaan serta hal-hal percukaian.

Apa yang penting ialah kesanggupan pemerintah untuk menilai semula pegangan dan orientasi ekonomi yang diamalkan dalam pemerintahan mereka. Kita tidak mahu mereka menggunakan sistem ekonomi Islam sekadar menukar labelnya sahaja tetapi mekanisma yang digunakan tidak berbeza dengan ekonomi anjuran Barat.
Wallahualam.

Rujukan

Buku

1. Tafsir Mahmud Yunus Al-Quran Nul Karim Rasm Uthmani oleh Prof. Dr. Hj. Mahmud Yunus terbitan Klang Book Centre,2006

2. Ekonomi dan Perniagaan Secara Islam oleh Ustaz Jaafar Salleh, terbitan Al-Hidayah Publishers, 2001

3. Bantuan Studi Lengkap SPM Pendidikan Islam oleh Ustaz Hamil @ Amir Abdul Hameed terbitan Sasbadi Sdn. Bhd., 1997

4. Ringkasan Ihya’ Ulumuddin Imam Al-Ghazali terjemahan Zaid Husein Hamid, terbitan Darul Nu’man, 2003.

5. Jiwa Yang Merindui Kebahagian oleh Abd. Wahhab Al-Alim, terbitan Jasmin Enterprise, 1995.

6. Economics: Principles, Problems, and Policies Fourteenth Edition oleh Campbell R McConnel & Stanley L Brue, terbitan Irwin McGraw-Hill, 1999.

Internet

1. Laman web Social Science Research Council: The Relious Undercurrents of Muslim Economic Grevances oleh Timur Kuran

2. Islam and Mammon: The Economic Predicaments of Islamism. Timur Kuran, 2004, Princeton, NJ: Princeton University Press.

3. Laman web Muslim American Society: Ibn Khaldun

4. Laman web Kajian Studi Ekonomi Islam (KASEI); Dasar Fiqh Ekonomi Islam oleh Web Master

5. Laman web Islam 101: The Economic Life of Islam oleh Hamudah Abdel-Ati (from Islam in Focus)

6. Laman web The house of Khalifah1924: Paradigma Ekonomi Islam oleh M. Shiddiq al-Jawi

7. Laman web Wikipedia Bahasa Melayu: Perekonomian Islam

8. Laman web Wikipedia: Economy, Islamic Economics In The World dan Islamic
Economis Jurisprudence.

9. Laman web InterIslamicNet: Islam dan Ekonomi

10. Kertas Kerja dalam Ekonomi dan Kewangan Islam No 0304: A Fundamental Flaw in the Construction of Islamic Economics: Providing Islamic Justifications Within Conventional Framework oleh Muhammad Syukri Salleh & Abdul Fatah Che Hamat.

11. Laman web Rohmat Sarman:Pendekatan Islam dalam Ilmu Ekonomi: Tinjauan Beberapa Alasan Krusial

12. Laman web ISNET: Sistem Masyarakat Islam dalam al-Quran dan Sunnah oleh Dr Yusuf Qardhawi

13. Laman web Islamic.org.uk: Islamic Economics

14. Laman web Daniel Pipes.org: Islamic Economics: What Does It Means? oleh Daniel Pipes

15. Laman web The Times of India: Islamic Economics oleh Sauvuj Chakraverti

16. Laman web Aceh Forum Community: Ibnu Chaldun: Bapa Ekonomi oleh akhifillah dan
Ibn Khaldun, Father of Economics oleh Dr Ibrahim M. Oweiss

No comments:

Share it